Doa Mustajab Mohon Diberikan Zuriat

Spread the love

Memiliki zuriat merupakan antara kegembiraan hakiki buat pasangan suami isteri. Namun tidak semua pasangan memiliki zuriat dengan segera selepas berkahwin.

Setiap pasangan diuji dengan ujian yang berbeza dan sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui akan apa yang kita tidak tahu. Seandainya pasangan sudah berusaha dengan bermacam cara untuk memiliki zuriat, janganlah berputus asa kerana Allah itu Maha Pengasih seperti firmannya dalam Surah Al-Ghaafir ayat 60

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Dalam ayat “berdoalah kamu nescaya Aku perkenankan” dengan jelas menyatakan bahawa Allah akan memperkenankan doa hambaNya.

Namun harus diingat doa itu ada caranya dan antara perkara yang perlu dititik berat dalam doa adalah:

  • Doa yang spesifik
  • Menetapkan tarikh yang logik
  • Doa itu sendiri logik
  • Yakin dengan janji Allah
  • Beriman dan bertakwa
  • Menjauhi dosa-dosa besar (terutamanya)
  • Menjauhi rezeki haram
  • Mengejar keberkatan dan mencari yang halal
  • Mengikuti doa para nabi (lebih baik)

Dipermudahkan cerita, perbaikilah diri kita terlebih dahulu kerana dengan iman dan takwa, doa kita lebih mudah diperkenankan Allah. Jangan sesekali berputus asa.

Doa Pertama (Ayat Al-quran):

Robbana hablana min azqajinaa wa zurriyatina qurrota’ayunin, waj’alna lil muttaqiina imaama.

Ertinya:

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa (Al-Furqan: 74)

Doa Kedua Nabi Zakaria (Ayat Al-quran)

Robbi hablii miladunka dzuriyyatan thoyyibatan innaka samii’uddu’aa

Ertinya:

“Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa” (Ali-Imraan:38).

Doa Ketiga Nabi Ibrahim (Ayat Al-quran)

Robbi hablii minasholihiin

Ertinya:

“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh.” (As-Shaffat: 100)

Bacalah ketiga-tiga doa di atas setiap hari atau setiap masa yang bersesuaian. Baca ketika kita berasa tenang atau tidak tahu ingin buat apa seperti sedang memandu kereta, ketika menunggu bas atau selepas solat. Usah limitkan waktu kita berdoa kerana Allah tidak pernah lupa terhadap hambaNya.

Namun kita juga perlu alert dengan waktu-waktu berdoa yang mustajab seperti yang dinyatakan menerusi beberapa hadis seperti di bawah:

1. WAKTU ANTARA AZAN DAN IQAMAH
Semasa azan berkumandang, pintu langit terbuka dan doa mudah dimakbulkan bagi hamba yang taat. Allah turut mengurniakan waktu istimewa untuk hambaNya yang berdoa pada awal waktu solat iaitu antara azan dan laungan iqamah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Doa di antara azan dan iqamah tidak tertolak”(Hadis Riwayat At Tirmidzi dan Abu Daud).

2. SEMASA HUJAN TURUN
Apabila hujan turun membasahi bumi bukan sahaja dapat menyirami tumbuhan dan menyejukkan bumi yang kering. Waktu ini juga Allah cipta untuk hambaNya berdoa supaya dapat dikabulkan.

Rasulullah s.a.w bersabda “Doa tidak tertolak pada 2 waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun.” (Hadis Riwayat Al Hakim)

3. 2 WAKTU PADA HARI JUMAAT
Hari Jumaat adalah hari yang istimewa di sisi Allah.

Rasulullah SAW pernah membicarakan tentang hari Jumaat dalam sebuah hadis sahih di mana Baginda bersabda:

“Hari Jumaat ada 12 jam yang mana tiada seorang hamba muslim berdoa padanya kecuali akan diberikan (dimakbulkan), maka carilah ia di hujung waktu selepas Asar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Selain itu, satu lagi waktu yang patut dianggap mustajab oleh para ulama’ adalah ketika waktu imam duduk di mimbar sehingga solat Jumaat selesai.

Daripada Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy ‘ari RA katanya bahawa Abdullah bin Umar RA berkata : Adakah engkau pernah mendengar ayahmu menceritakan tentang Rasulullah SAW melakukan solat Jumaat? Lalu Abu Burdah menjawab, “Ya” aku pernah mendengar ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Masa yang paling mustajab itu ialah ketika bermulanya duduk imam di atas mimbar sehinggalah selesai solat Jumaat”.(Hadis Riwayat Muslim)

4. SEPERTIGA MALAM TERAKHIR
Apabila sepertiga terakhir malam, Allah memberkati hamba-hambanya dengan turun ke langit dunia dan mengkabulkan hajat yang terbuku di hati mereka.

Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah SAW bersabda,

“Di malam hari terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah berkaitan dengan dunia dan akhiratnya bertepatan dengan waktu tersebut melainkan Allah akan memberikan apa yang ia minta. Hal ini berlaku setiap malamnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

5. HARI ARAFAH PADA MUSIM HAJI
Sesiapa yang sampai ke sini sememangnya bertuah kerana berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah Al Mukarramah lebih-lebih lagi pada musim haji.

Sabda Rasulullah SAW “Doa yang terbaik adalah doa ketika hari Arafah” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).

Biasa dengar cerita bagaimana doa orang yang dimakbulkan selepas pulang dari ibadah haji? Ia bukanlah kisah dongeng sebaliknya ia kisah benar.

6. KETIKA WAKTU SAHUR DAN BERBUKA PUASA
Disamping waktu terakhir sepertiga malam, waktu sahur juga tergolong dalam waktu mustajab itu. Oleh itu banyakkan berdoa dan berzikir sambil bersahur sehingga masuknya waktu solat fardhu Subuh. Setelah penat seharian berpuasa, Allah mengurniakan satu lagi waktu mustajab untuk orang berpuasa memanjatkan doa kepadaNya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

Semoga amalan kita yang berterusan dapat diterima di sisi Allah dan dapat mempersiapkan diri kembali bertemu denganNya dengan timbangan amal yang cukup. Semoga kita semua tidak berputus asa untuk berdoa kepada Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *